SEJARAH PAS NEGERI SELANGOR

Mengikut sumber yang boleh dipercayai, cawangan pertama PAS di Negeri Selangor telah ditubuhkan pada 10 April 1952 iaitu Cawangan Kuala Lumpur (sebelum dijadikan Wilayah Persekutuan). Mesyuarat penubuhannya telah dihadiri seramai 40 orang penyokong PAS dan Cawangan tersebut dipimpin oleh Haji Mas’ud Hayati yang kemudiannya masuk UMNO dan bertanding atas tiket Perikatan di DUN Sementa pada tahun 1959.

Kawasan Sabak Bernam dan Tanjong Karang merupakan kawasan ramai orang Melayu dan kesedaran terhadp syiar Islam adalah tinggi di kawasan-kawasan tersebut. YB.Senator Ustaz Haji Hassan Haji Shukri pernah menerangkan bahawa ketika beliau berumur 14 tahun pada tahun 1953, suatu ceramah penerangan PAS telah diadakan di Parit 5, Sungai Besar dan beliau turut membantu menjayakan ceramah tersebut. Antara penceramah di majlis tersebut ialah Dato’ Haji Othman Abdullah, bekas Setiausaha Agung PAS. Bermula dari tarikh itu, PAS relah berkembang diseluruh Negeri Selangor, walaupun penyokongnya tidak begitu ramai.

 

KEPIMPINAN DAN TOKOH PAS NEGERI SELANGOR

Antara mereka yang masih hidup untuk menerangkan sejarah PAS Selangor ialah Tuan Haji Cik’gu Awang B.Ahmad Ansari (sila lihat rencana biodata beliau dalam HARAKAH, 3 Ramadhan 1415) yang pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor. Beliau menjadi ahli PAS dalam tahun 1959 dan menjadi calon dalam pilihanraya umum pada 19/8/1959 bagi kawasan Kuala Selangor Pekan (DUN).

Diantara kriteria mereka yang ingin menjadi tokoh PAS ketika itu ialah berani berdepan dengan masyarakat terutama para pemimpin tempatan seperti penghulu dan ketua kampong.

Tidak ada sebarang dokumen yang dapat menerangkan secara tepat mengenai sejarah kepimpinan PAS Selangor sehinggalah Pejabat Perhubungan PAS Negeri dibina di Kg.Sementa, Klang dalam tahun 1983. Berdasarkan kepada pengamatan dan penyelidikan secara kasar, kedudukan senarai Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor adalah seperti berikut :

  1. 1954 – 1956 : Haji Hamidun Hussin, bekas askar. Beliau mendirikan pejabat di kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.
  2. 1956 – 1960 : Ahmad Hasan berasal dari Meru, Klang. Pernah bekerja sebagai kerani di Pejabat Agung PAS. Bertanding sebagai calon PAS bagi DUN Sementa pada tahun 1959.
  3. 1960 – 1963 : Ustaz Haji Jalil Safuan B. Haji Ab.Rahman berasal dari Sg.Kandis, Klang dan bekas guru agama. Pengasa Persatuan Guru-guru Agama Islam Selangor (PEGAS). Lahir pada 1926 dan meninggal pada 1983. Turut aktif dalam Persatuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah (Jami’iyah).
  4. 1963 – 1967 : Muhamad Hanif. Bekas kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Bertanding pada tahun 1969 di DUN Kg.Baharu, Kuala Lumpur.
  5. 1967 – 1974 : Haji Yazed B.Jaafar (Pak Yazed) adalah seorang pendakwah bebas dan bekas askar. Pernah bertanding atas tiket PAS menentang Allahyarham Tun Abdul Razak dalam kawasan Parlimen Pekan, Pahang (1969). Dipecat oleh Dato’ Asri pada tahun 1974 kerana menentang kemasukan PAS dalam BN.
  6. 1974 – 1979 : Tuan Guru Haji Abd.Hakim B.Haji Abdullah, berpendidikan agama di Mekah. Pernah memegang beberapa jawatan lain dalam parti termasuk Yang Di Pertua PAS Kawasan Tanjong Karang. Bertanding bagi kerusi DUN Sungai Besar pada tahun 1959 dan Parlimen Tanjong Karang pada 1978 dan 1990.
  7. 1979 – 1982 : YB.Senator Ustaz Haji Hassan B.Haji Shukri.
  8. 1982 – 1994 : Tuan Guru Haji Ismail B.Haji Hashim.
  9. 1994 – sekarang : YB.Senator Ustaz Haji Hassan B.Haji Shukri.

 

PEJABAT PENTADBIRAN DAN PENDAFTARAN SEBAGAI PARTI POLITIK

Mengikut Akta Pertubuhan 1966, semua badan / pertubuhan dalam negara hendaklah didaftarkan sebagai badan yang sah bagi membolehkan mereka bergerak aktif.

PAS Selangor telah didaftarkan pada 12 April 1967 dengan menggunakan alamat No.300-3C, Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur. Pejabat tersebut merupakan Pejabat Agung PAS ketika itu dan PAS Selangor menumpang disitu. Dalam tahun 1967, Pesuruhjaya PAS Selangor ialah Tuan Haji Yazed Jaafar, manakala Setiausahanya ialah Tuan Haji Cik’gu Awang B.Ahmad Ansari. Oleh kerana PAS Selangor tidak mempunyai pejabat tetap, urusan pentadbirannya berjalan mengikut budibicara Pesuruhjaya ketika itu. Pernah sijil Pendaftaran PAS Selangor hilang dan terpaksa memohon salinannya daripada Pendaftaran Pertubuhan dalam tahun 1993.

 

MARKAZ PAS NEGERI SELANGOR

Perubahan penting dalam pentadbiran PAS Selangor dapat dilihat selepas Pesuruhjaya PAS Negeri, Allahyarham Tuan Guru Haji Ismail B.Haji Hashim berusaha mendirikan sebuah bangunan yang dijadikan Pejabat Perhubungan PAS Negeri Selangor diatas tanah Lot 3301, Batu 6 ½, Sementa, Klang. Tanah seluas ¼ ekar itu dibeli dari Allahyarham Ustaz Muhammad Ali B.Abu Bakar, bekas Bendahari Dewan Ulama’ PAS Negeri Selangor ketika itu.

Sebelum pejabat perhubungan didirikan, Allahyarham Tuan Guru Haji Ismail B.Haji Hashim telah menggunakan rumah beliau yang diubahsuai sebagai pejabat pentadbiran disamping mengadakan kuliah agama dan ceramah parti. Markaz tersebut dibina melalui derma penyokong-penyokong parti. Oleh kerana beliau menjadi Pesuruhjaya (mulai 1982), Allahyarham telah menjelajah seluruh Negeri Selangor bagi mendapatkan sumbangan wang disamping mengenalpasti orang-orang tertentu yang menyumbang dengan jumlah wang banyak.

Allahyarham Tuan Guru Haji Ismail B.Haji Hashim menjadi Pesuruhjaya, beliau memastikan segala urusan pentadbiran parti berjalan licin dan lancar. Segala rekod dan fail parti dikendalikan secara baik melalui Setiausaha Kerja yang menjalankan tugas sepenuh masa sehingga sekarang. (Biodata Allahyarham Tuan Guru Haji Ismail B.Haji Hashim dimuatkan dalam HARAKAH 3 Mei 1994) .

 

PENGLIBATAN PAS SELANGOR DALAM PILIHANRAYA

PAS Negeri Selangor telah terlibat dalam semua pilihanraya umum sejak tahun 1955 hingga 1999. Dalam tahun 1974, semasa dalam BN calon PAS Tuan Haji Hamdan B.Haji Bakri telah memenangi kerusi DUN Sungai Panjang tanpa bertanding.

Secara ringkas, peratus pengundi PAS dalam pilihanraya yang lalu adalah seperti berikut :

Tahun

Jumlah Kerusi Bertanding Dan Peratus Undi Diperolehi

 

Parlimen

%

DUN

%

Catatan

1955

2

9.2

-

-

 

1959

4

7.9.

16

11.60

 

1964

3

2.40

7

3.30

 

1969

4

7.2.

11

9.60

 

1974

PAS dalam Barisan Nasional

1978

8

9.9

22

7.2.

1982

8

7.3.

23

8.2.

1986

8

9.5

9

10.8

1990

2

1.89

6

4.5. (PAS bersam APU)

HARAPAN DAN CABARAN

Kejayaan PAS Selangor dengan memenangi 4 kawasan DUN dalam Pilihanraya Umum 1999, memberi semangat kepada para pendokong parti untuk memperkuatkan jentera parti dan mempertingkatkan iltizam bagi menempa kejayaan yang lebih cemerlang dalam pilihanraya 2004.

InsyaAllah dengan gandingan mereka yang berpengalaman disamping peranan golongan ulama’ dan professional serta disiplin dan komitmen yang tinggi dikalangan kepimpinan dan ahli-ahli parti, akan menghasilkan natijah yang diharapkan.

Sekian.

 

Disediakan oleh :

HAJI IBRAHIM B. HAJI OMAR

 

 

Pejabat Perhubungan PAS

Negeri Selangor, Sementa, Klang.

27 Julai 2001.